Wednesday, March 16, 2011

Malam gemilang Azizul, Nicol

Ia ibarat ulang tayang edisi 2009. Jaguh pecut lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan ratu skuasy kebangsaan, Datuk Nicol Ann David, kembali ke podium untuk masing-masing dinobat selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2010 dalam satu upacara sederhana tetapi cukup signifikan di sini, malam tadi.

Kedua-duanya yang juga terpilih mengungguli kategori masing-masing untuk edisi 2009, menerima trofi dan wang tunai RM10,000 setiap seorang daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ia adalah kemenangan peribadi kedua buat Azizulhasni manakala nama Nicol sudah lapan kali tercatat sebagai pemenang dalam tempoh 11 tahun, satu lakaran sejarah yang pasti sukar ditandingi.

Azizulhasni, 23, mengetepikan cabaran Datuk Lee Chong Wei dan jaguh bina badan, Sazali Abdul Samad.

“Ini gelaran kedua buat saya, satu penghormatan yang tinggi dalam membakar semangat saya memburu gemilang atas nama negara. Ia juga sebagai hadiah selepas menggadai nyawa di Manchester baru-baru ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong, tidak kira sama ada di kalangan pentadbir, pemimpin persatuan, penaja, pengkritik dan peminat yang tidak putus-putus menghulurkan sokongan,” kata Azizulhasni.

Nicol pula teruja dengan gelaran kelapannya sebagai pelengkap kepada persembahannya sepanjang 2010.

“Tahun 2010 adalah detik paling gemilang buat saya, dengan kejuaraan berganda di Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Kemenangan kategori pasukan juga satu penghormatan yang cukup tinggi dan menjadi kenangan manis saya,” kata Nicol.

Kategori pasukan lelaki dimenangi skuad hoki negara yang mengutip pingat perak di Sukan Asia di Guangzhou manakala kuartet skuasy – Nicol, Low Wee Wern, Sharon Wee dan Delia Arnold – terpilih mengungguli kategori pasukan wanita.

Anugerah jurulatih lelaki kebangsaan dikongsi bersama Stephen van Huizen dan Tai Beng Hai. Anugerah Kepemimpinan jatuh kepada Prof Datuk W.Y. Chin manakala Anugerah Khas diberi kepada bekas jaguh rejam lembing negara, Datuk Nashatar Singh, dan pemimpin badminton Datuk Lim Teong Kiat.

Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan dimenangi Zul Amirul Sidi Abdullah (renang) manakala Nabilah Ahmat Sharif (badminton) mengungguli kategori olahragawati.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata program Anugerah Sukan Negara 2010 menjadi simbol hubungan baik di antara kerajaan dan swasta dalam membangunkan sukan negara menerusi sumbangan penajaan Telekom Malaysia.

Ahmad Shabery turut menggesa persatuan sukan bijak menjadikan sebagai sukan mereka sebagai jalur pemasaran dalam mencari sumber tajaan swasta.

“Kita mesti menanam keyakinan kepada orang ramai bahawa sukan juga boleh menjana pendapatan bukan saja di kalangan atlit tetapi juga kumpulan sokongan yang lain,” kata Ahmad Shabery.

SENARAI PEMENANG

OLAHRAGAWAN KEBANGSAAN – Mohd Azizulhasni Awang (lumba basikal)

OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN – Datuk Nicol Ann David (skuasy)

JURULATIH KEBANGSAAN – Stephen van Huizen dan Tai Beng Hai (hoki)

ANUGERAH KHAS – Datuk Lim Teong Kiat, Datuk Nashatar Singh

ANUGERAH KEPIMPINAN – Prof Datuk W.Y. Chin

PASUKAN LELAKI KEBANGSAAN – Pasukan hoki

PASUKAN WANITA KEBANGSAAN – Pasukan skuasy

OLAHRAGAWAN PARALIMPIK KEBANGSAAN – Zul Amirul Sidi Abdullah (renang)

OLAHRAGAWATI PARALIMPIK KEBANGSAAN – Nabilah Ahmat Sharif (badminton)

No comments:

Post a Comment

your comments is valuable..